Rambo Bentong dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh remaja perempuan lima tahun lalu. |
'Rambo Bentong' atau nama sebenarnya Rabidin Satir dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah membunuh remaja perempuan berusia 17 tahun, lima tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu setelah pihak pembelaan didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, antara 11.30 malam, 7 Mac 2009 dan 1.50 petang pada 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Abdul Karim membebaskan Rabidin daripada tuduhan merogol Kok kerana mahkamah tidak dapat menentukan sama ada jenayah itu dilakukan tertuduh ketika mangsa masih hidup atau telah mati.
Tertuduh didakwa merogol mangsa di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 376(4) kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.
Dalam penghakimannya, Abdul Karim berkata tertuduh yang memberikan keterangan bersumpah dan merupakan satu-satunya saksi pembelaan dalam kes itu hanya memberikan keterangan bersifat penafian.
"Tertuduh juga hanya memberikan keterangan ringkas sepanjang perbicaraan berlangsung di mana sesi soal balas hanya dijawab dengan jawapan 'tidak ingat' dan mengambil masa yang lama untuk memberi keterangan.
"Daripada cerita pembelaan tertuduh, ia hanyalah keterangan bersifat penafian atau 'after thought', dia menafikan mengenali mangsa dan menafikan pernah pergi ke rumah mangsa, jadi penafian ini tidak menimbulkan keraguan kepada kes pihak pembelaan," katanya.
Beliau berkata, kesan darah yang ditemui pada pakaian mangsa adalah sepadan dengan darah milik tertuduh selain profil DNA yang diperoleh daripada kemaluan mangsa juga sepadan dengan profil DNA milik Rabidin.
Rabidin yang berkerusi roda dan diwakili peguam Richard Bong Chong Fook hanya mendiamkan diri ketika jurubahasa Kadazan Dusun menterjemahkan keputusan itu kepadanya.
Pada 5 Februari 2013, Rabidin dijatuhi hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan setelah mengaku bersalah terhadap empat tuduhan rogol dan satu tuduhan seks luar tabii yang dilakukan antara 2009 hingga 2011.
Bagaimanapun, pada 29 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini menerima rayuan tertuduh dan mengurangkan hukuman kepada 40 tahun dan 24 sebatan.
Pada 21 Mac tahun lepas, dia turut dikenakan hukuman 18 tahun penjara setelah mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 24, dengan parang di sebuah rumah di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada 2012.
Hukuman dia bagaimanapun dikurangkan kepada 10 tahun selepas rayuannya diterima mahkamah.
Rabidin dikenali sebagai Rambo Bentong kerana dia tinggal di hutan bersendirian dan menggunakan pisau Rambo untuk mengugut dan menyerang mangsa.mstar.com.
0 komentar:
Posting Komentar