Rabu, 17 September 2014

SuperMokh Datang Bantu Saya Dalam Mimpi - Awie

Penyanyi dan pelakon popular, Awie akui gementar untuk membawakan watak lagenda bola sepak, Datuk Mokhtar Dahari atau SuperMokh.

Sungguhpun pementasan SuperMokh Restaging merupakan kali kedua dia melakonkan watak Supermokh, perasaan gemuruh tetap ada di dalam dirinya.

“Pada tahun lalu, saya memang betul-betul takut untuk membawakan watak SuperMokh, tetapi selepas Hans Isaac meyakinkan saya, akhirnya saya bersetuju untuk menerima tawaran darinya.

“Tetapi, selepas itu saya selalu terfikir tentang perkara tersebut dan saya telah membuat kajian untuk mengenali dengan lebih dekat lagenda bola sepak negara itu.

“Sehinggakan pada suatu malam selepas saya menonton perlawanan bola sepak yang melibatkan SuperMokh, saya tertidur kira-kira jam 4 pagi.

“SuperMokh hadir dalam mimpi saya ketika itu. Dia tolong saya, dia tunjukkan saya cara bermain bola dan daripada situ saya dapat belajar mengenai SuperMokh,” katanya.

Namun, kajian Awie tidak berakhir di situ sebaliknya dia terus pergi berjumpa dengan isteri SuperMokh, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim.

Selain itu, Awie turut bertemu dengan sahabat-sahabat Allahyarham untuk tahu lebih lanjut tentang peribadi pemain bola sepak handal itu.

“Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan kerjasama dan maklum balas yang baik daripada sahabat-sahabat SuperMokh dan akhirnya saya bawa apa yang saya ‘dapat’ ke atas pentas,” ujarnya mengimbas pengalaman lepas.

Awie ditemui pada majlis pratonton teater muzikal SuperMokh Restaging di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Isnin.

Tambah Awie lagi, untuk pementasan kali ini dia agak tertekan kerana bimbang jika tidak berjaya memberi kepuasan kepada para peminat terutama ahli keluarga SuperMokh.

“Pada pementasan sebelum ini, ramai yang datang kepada saya dan memberitahu mereka berpuas hati dengan watak SuperMokh yang saya bawa.

“Jadi untuk SuperMokh Restaging ini, saya agak risau kalau-kalau penyampaian saya tak seperti yang diharapkan. Itu paling mencabar buat saya kali ini,” katanya.

SuperMokh Restaging sudah mula dipentaskan di Istana Budaya sejak Isnin lalu dan akan berakhir pada 21 September depan.murai.com.

0 komentar:

Posting Komentar


Top